Thursday, June 7, 2007

Selamat Pengantin Baru Pak Lah!

Kecoh! Memang kecoh satu dunia semalam bila Pak Lah our beloved Prime Minister buat announcement yang dia akan melangsungkan perkahwinan kali kedua hari Sabtu ni. Seperti biasa.. aku dan beribu umat manusia yg lain pun mengoogle dengan senang hati bakal pengantin nih. Macam² blog/website aku terjah. Ada yang suka.. ada yang tak suka. Memang awal tahun hari tu dah terdengar khabar angin Pak Lah nak kawen. Tapi cam biasa la... gua malas nak amik pot hal² remeh khabar angin politik nih. Haaaa.. ni gua amik dari Utusan Online. Press conference semalam.

TRANSKRIP sidang akhbar Perdana Menteri mengenai perkahwinannya selepas majlis pelancaran Konvensyen Industri Kecil dan Sederhana (SME) 2007 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

SOALAN: Pagi tadi kita telah mendapat khabar gembira daripada Datuk Seri. Boleh Datuk Seri berikan kenyataan lanjut berhubung perkahwinan Datuk Seri yang akan dilangsungkan pada Sabtu ini?
ABDULLAH: Alhamdulillah, saya berasa gembira dan bersyukur kepada Allah kerana wanita pilihan saya ini telah mendapat restu daripada anak-anak dan juga adik-adik saya. Insya-Allah pada hari yang ditetapkan itu akan diadakan majlis akad nikah.

Mengapakah Datuk Seri memilih hari Sabtu?
Sabtu merupakan hari cuti dan kita kena ambil kira kesesuaian masa untuk memudahkan tetamu datang.

Di manakah Datuk Seri akan berbulan madu?
(Ketawa) Tidak rancang pun lagi. Saya perlu bincang dengan orang yang berkenaan.

Bilakah pertama kali Datuk Seri berjumpa dengan bakal isteri?
Saya kenal sudah lama sebab Jeanne merupakan adik ipar Kak Endon (Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood).

Bilakah Datuk Seri melamar Jeanne?
(Ketawa) Saya tidak ingat bila saya lamar Jeanne.

Bolehkah Datuk Seri gambarkan tentang bakal isteri, Jeanne?
Apa yang awak hendak cerita mengenainya?

Maksudnya, apakah yang membuat Datuk Seri memilih Jeanne?
Sebab ada keserasian dan asalkan dia sayang saya bolehlah.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz kemudian mencelah: Ada chemistry.


Mungkinkah karakter atau keperibadian Jeanne yang berjaya menambat hati Datuk Seri?
Saya yakin Jeanne boleh jaga saya, boleh jadi teman saya dan itu yang penting.

Mengapakah Datuk Seri apabila ditanya mengenai perkahwinan sebelum ini, Datuk Seri menjawab itu semua khabar angin?
Yalah... memang itu semuanya khabar angin. Semua tarikh yang dikatakan dulu tidak betul. Sebenarnya apa yang dirancangkan ini tidaklah memakan masa yang lama. Saya perlukan sedikit masa sebab saya perlu berunding dengan anak-anak dan adik-adik saya terlebih dahulu. Kemudian saya perlu mencari masa yang sesuai sebab saya terlalu sibuk ke sana dan ke sini.

Adakah pada perkahwinan Datuk Seri kali ini akan diadakan majlis persandingan?
(Ketawa) Tidak ada ... orang tua kahwin (tak payah bersanding).

Adakah Datuk Seri merancang untuk mengadakan majlis resepsi untuk rakyat?
Yang itu belum lagi, nantilah.

Bagaimanakah sebenarnya karakter bakal isteri Datuk Seri bagi membolehkan rakyat tahu siapa bakal isteri Datuk Seri?
Pertamanya, Jeanne seorang yang cukup sederhana dan peramah terutama dengan tetamu yang datang ke rumah saya. Semasa Allahyarham Kak Endon masih ada, Jeanne telah diberi tugas menyambut rakan-rakan dan tetamu yang datang. Mereka datang untuk berjumpa saya atau mengadakan mesyuarat di rumah saya.

Kadang-kadang ada juga pelawat serta rakan-rakan dari luar negara yang datang. Ahli perniagaan pun biasa datang dan begitu juga pegawai kerajaan. Kedatangan mereka ke rumah saya, Jeanne yang uruskan. Jeanne akan menjemput mereka duduk dan menyediakan minuman. Tugas Jeanne itu ditetapkan oleh Kak Endon sebab rumah kami besar dan orang yang datang pun ramai.

Sekiranya diadakan jamuan sama ada besar atau kecil, Jeanne juga yang akan uruskan. Beliau akan mencari katerer, menentukan menu dan tentukan susunan meja dan kerusi serta hiasan. Saya lihat setiap tugas yang diberikan kepada Jeanne dapat dilaksanakan dengan baik. Tidak ada apa-apa yang berlaku yang kerananya saya rasa kecil hati atau rasa hendak marah. Jadi sifat begitu pada saya adalah baik. Jeanne mudah bergaul dengan orang.


Adakah Jeanne seorang yang berdarah campuran?
Ada, tetapi saya tidak pernah tanya lebih lanjut.

Bilakah Datuk Seri mengenali Jeanne?
Saya mengenali Jeanne telah lama. Boleh jadi 20 tahun.

Sejak bila Datuk Seri berkasih dengan Jeanne?
(Ketawa) Baru-baru... kira-kira kurang daripada setahun.

Bagaimana pula dengan hantaran perkahwinan?
Tidak ada hantaran. Perkahwinan ini sederhana sahaja. Ini bukan perkahwinan kali pertama bagi saya, tidak payah hantaran banyak-banyak.

Apakah reaksi Nori, anak Datuk Seri?
Nori boleh terima. Kalau tidak terima, tidak jadilah perkahwinan ini.

Adakah keluarga Datuk Seri kenal rapat dengan Jeanne?
Memang pun sebenarnya. Jeanne merupakan keluarga kami juga sebab sebagaimana saya katakan tadi Jeanne adalah adik ipar Kak Endon. Beliau pernah berkahwin dengan adik lelaki Kak Endon tetapi telah berpisah lebih 15 tahun lamanya, bukan baru.

Dengar cerita Allahyarham Datin Seri Endon sangat sayangkan Jeanne? Benar, kalau tidak Kak Endon tidak suruh Jeanne datang ke rumah untuk bekerja dengan beliau (Endon). Kak Endon sendiri memberi beberapa tanggungjawab yang perlu Jeanne laksanakan di rumah itu.

Betulkah ada orang kata perkahwinan ini wasiat arwah Datin Seri Endon?
Kak Endon tidaklah kata wasiat (ketawa).

Adakah ini pesanan atau cadangan daripada arwah Kak Endon?
Itu pun Kak Endon tidak kata.

Adakah majlis perkahwinan kali ini lebih sederhana?
Jauh lebih sederhana. Memanglah perkahwinan kali pertama besar, kali kedua kecil, kali ketiga lagi kecil dan kali keempat lagi kecil. Saya tidaklah hendak ambil tiga atau empat. Saya berhenti setakat dua sahaja.

Adakah Datuk Seri merancang untuk bercuti selepas bernikah?
Belum ada rancangan untuk bercuti sebab lepas ini saya ada kerja. Saya akan mengadakan lawatan rasmi ke luar negara dan saya akan bawa sekali Jeanne. Bila ada teman perlulah kita bawa bersama (ketawa).

Bagaimanakah hubungan Jeanne dengan Nori?
Baik. Dengan adik-adik saya pun tidak ada masalah.
Mengenai majlis untuk rakyat, adakah Datuk Seri tidak bercadang untuk mengadakannya?

Selepas ini seperti biasa saya akan buat lawatan ke merata tempat dari Semenanjung hingga Sabah dan Sarawak. Saya dijemput untuk merasmikan pelbagai program. Pada masa itu saya akan bawa Jeanne terutama dalam program-program yang bersesuaian. Bukan saya suruh mereka buat kenduri besar, cukuplah sekadar menyambut kedatangan kami berdua.

Bagaimanakah pula dengan cincin perkahwinan. Adakah ia sudah ditempah?
(Ketawa) Cincin telah ditempah walaupun agak lewat.

Apakah ingatan Datuk Seri terhadap arwah Datin Seri Endon?
(Kelu seketika) Sayang saya, cinta saya kepada arwah masih kukuh dan saya juga percaya Tuhan telah mencipta banyak ruang di dalam hati kita untuk kita menyayangi orang yang berada di keliling kita. Bila kita bercakap pasal wanita, kita sayang pada emak tapi tidak bermakna kita tidak sayang pada isteri atau cinta pada isteri.

Kita tidak boleh bandingkan sayang kita antara emak dan isteri. Begitu juga sayang kita pada adik (perempuan), sayang kita kepada anak dan sayang kita kepada cucu. Bagi wanita pula, sayang mereka kepada bapa, sayang kepada suami, sayang kepada abang, anak lelaki, cucu lelaki, sudah tentu tidak boleh dibuat perbandingan.

Jadi itulah kelebihan Allah yang menganugerahkan perasaan ini dalam kita menjalinkan hubungan. Jeanne juga sayang dengan Kak Endon. Segala apa di rumah itu terutama gambar-gambar Kak Endon tidak akan diubah kerana itu adalah memori abadi. Jika Jeanne hendak tambah gambar dia... tambahlah.


Datuk Seri, Jeanne berasal dari mana?
Dari Kuala Lumpur.

Bagaimanakah pula hubungan Datuk Seri dengan bakal anak tiri?
Saya menerima kehadiran dua anak perempuan tiri dengan hati yang terbuka. Masing-masing berusia antara lewat 20-an dan awal 30-an.

Apakah panggilan Datuk Seri kepada Jeanne apabila telah bernikah
nanti, sayang ke, darling ke?

Nanti awak dengarlah sendiri dan saya pasti semua akan tunggu bila Pak Lah hendak sebut.

Saya juga mahu nyatakan di sini bahawa berita perkahwinan saya ini telah simaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini dan kepada jemaah menteri.

Satu kenyataan telah pun dikeluarkan untuk pengetahuan rakyat. Perkara ini tidak perlu disembunyikan.

Apakah yang Datuk Seri harapkan daripada rakyat?
Saya harapkan rakyat mendoakan kesejahteraan kami berdua. Perdana Menteri yang lebih gembira boleh melakukan kerja dengan lebih baik. Saya bukan kata saya tidak gembira tetapi saya lebih gembira sekarang.

Adakah kehidupan Datuk Seri akan lebih bermakna selepas ini?
Ya... hidup saya akan lebih bermakna kerana perempuan adalah pelengkap pada lelaki dan itulah kejadian Tuhan. Satu melengkapi satu yang lain.

Siapakah tetamu yang akan dijemput pada majlis pernikahan Sabtu
ini?

Jemputan terhad kepada keluarga terdekat iaitu di kalangan anak-anak saya, adik-adik saya serta pasangan masing-masing. Di sebelah Kak Endon, sembilan orang kesemuanya turut dijemput. Ibu mertua saya, dua besan serta anak-anak mereka juga akan dijemput untuk menyaksikan perkahwinan ini.

Adakah Datuk Seri masih mengamalkan makan madu lebah?
Masih lagi, sejak zaman sekolah hingga sekarang. Kesukaan makan madu lebah adalah sejak saya dari kecil lagi.



Hmm.. macam terbayang je peristiwa 7 tahun lepas masa abah nak kawen dengan mummy. Hehehe.. tapi masa tu aku budak² lagi. Cengeh tak pepasal. Alhamdulillah.. abah skang tak sunyi lagi. Harapnya Pak Lah pun bahagia macam abah. Amin!

No comments: